Bahasa Malaysia | English
YAYASAN TUNKU ABDUL RAHMAN
 

YTM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ (1903-1990)

YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah pada 8 Februari 1903. Beliau merupakan anak ke-20 kepada Sultan Abdul Hamid Halimshah, Sultan Kedah yang ke-24. Bonda YTM Tunku ialah Che' Menjalara anak kepada Luang Nara Borirak, Ketua Mataban, di Thailand.

YTM Tunku memulakan persekolahan rasmi ketika berumur enam tahun, mula-mula di Sekolah Melayu di Alor Setar, kemudian di Government English School. Ketika berumur sepuluh tahun YTM Tunku Abdul Rahman telah dihantar ke Bangkok untuk tinggal bersama kakanda sulungnya YTM Tunku Yusuf dan belajar di Sekolah Debsurin. Pada tahun 1915, setelah YTM Tunku Yusuf pulang ke rahmatullah YTM Tunku telah kembali ke Kedah dan meneruskan persekolahannya di Penang Free School.

YTM Tunku Abdul Rahman telah melanjutkan pengajian di St. Catherine College, Universiti Cambridge pada tahun 1920 dengan biasiswa Negeri Kedah. Di sanalah Tunku pertama kali mengalami diskriminasi kaum. Permohonannya untuk tinggal di dalam kolej itu ditolak disebabkan warna kulit. Kemudian, setelah diketahui beliau adalah anak raja, beliau ditawarkan tempat tinggal di kolej itu, tetapi berdasarkan prinsip, beliau telah menolak tawaran itu dan tinggal di bilik sewa sepanjang kursusnya.

Beliau berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dan Sejarah dari Universiti Cambridge pada tahun 1925. Pada tahun 1926, dengan sifat kepimpinan dan semangat kebangsaan yang mula berkobar-kobar, Tunku telah mengusahakan penubuhan Kesatuan Melayu Great Britain dan beliau dilantik menjadi Setiausaha pertamanya.

Pada tahun 1947, didorong oleh keazaman yang kuat YTM Tunku Abdul Rahman ke England untuk menghabiskan pelajarannya di Inns of Court. Beliau berjaya mendapat kelayakan undang-undang dan pulang ke Kedah. Pada tahun 1949 YTM Tunku Abdul Rahman telah dilantik menjadi Ketua Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Bahagian Kedah dan pada 26 Ogos 1951 YTM Tunku Abdul Rahman telah menggantikan Dato' Onn Jaafar menjadi Yang di Pertua UMNO.

Semasa menjadi Presiden UMNO, YTM Tunku Abdul Rahman telah berusaha menyelesaikan masalah politik di Tanah Melayu dengan mendapatkan kerjasama daripada semua kaum dan hasilnya telah tertubuh Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA, dan MIC.

Setelah pilihanraya umum yang pertama diadakan di negara ini pada bulan Julai 1955, di mana Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada jumlah 52 buah kerusi yang dipertandingkan, YTM Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Pada tahun 1956, YTM Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk berbincang dengan Kerajaan British bagi mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Rundingan ini berjaya mendapat persetujuan British dan tarikh 31 Ogos 1957 telah ditetapkan sebagai tarikh kemerdekaan.

Pada tahun 1961, dalam satu majlis makan tengah hari dengan wartawan asing di Singapura, YTM Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan bahawa Tanah Melayu akan mengadakan satu persefahaman dengan Britain, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan negara Malaysia. Penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak telah diisytiharkan pada 16 September 1963. Bagaimanapun Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Pada 22 September 1970, YTM Tunku Abdul Rahman dalam keadaan teramat sedih kerana Tragedi 13 Mei 1969, meletakkan jawatan dan Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

 

 

BTAR

BPTAR

DTAR

PPTAR

 

 

 

 

 

Home | Sejarah Penubuhan | YTAR | Pemberian | Penerimaan | Tunku Scholars | Hubungi Kami  
Senarai Pemberi Biasiswa Lain