DI UNIVERSITI MALAYA, KUALA LUMPUR
Pada
tahun 1983, YTAR telah berusaha menubuhkan Kursi
Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya sebagai
hadiah kepada Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sempena ulang
tahun kelahirannya yang ke-80 (08 Februari 1983). Hasil kutipan derma dan sumbangan
daripada pelbagai pihak; Kerajaan, swasta dan
individu, YTAR telah menyerahkan wang berjumlah
RM1 juta kepada Universiti Malaya pada 05 Januari
1985 untuk penubuhan Kursi Tunku Abdul Rahman
Dalam Bidang Undang-Undang Antarabangsa. Pada
bulan Jun 1985, Majlis Universiti Malaya telah
melantik Profesor Ian Campbell MacGibbon sebagai
pemegang pertama Kursi tersebut.
BIOGRAFI
RINGKAS
Y.T.M. TUNKU
ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ (1903-1990)
Y.T.M.
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dilahirkan
di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah pada
8 Februari 1903. Beliau anak kedua puluh kepada
Sultan Abdul Hamid Halimshah, Sultan Kedah yang
ke-24. Bonda Tunku ialah Che' Menjalara anak
kepada Luang Nara Borirak, Ketua Mataban, di
Negara Thai.
Tunku
memulakan persekolahan formal ketika berumur
enam tahun, mula-mula di sekolah Melayu di Alor
Setar, kemudian di Government English School.
Ketika berumur sepuluh tahun Tunku telah dihantar
ke Bangkok untuk tinggal bersama kakanda sulungnya
Tunku Yusuf dan belajar di Sekolah Debsurin.
Pada tahun 1915, setelah Tunku Yusuf pulang
ke rahmatullah Tunku telah kembali ke Kedah
dan meneruskan persekolahannya di Penang Free
School.
Tunku
telah melanjutkan pengajian di St. Catherine
College, Universiti Cambridge pada tahun 1920
dengan biasiswa Negeri Kedah. Di sanalah Tunku
pertama kali mengalami diskriminasi kaum. Permohonannya
untuk tinggal di dalam kolej itu ditolak disebebkan
warna kulit. Kemudian, setelah diketahui beliau
anak raja, beliau ditawarkan tempat tinggal
di kolej itu, tetapi berdasarkan prinsip beliau
telah menolak tawaran itu dan tinggal di bilik
sewa sepanjang kursusnya.
Beliau
berjaya mendapat ijazah sarjana muda dalam undang-undang
dan sejarah dari Universiti Cambridge pada tahun
1925. Pada tahun 1926, dengan sifat kepimpinan
dan semangat kebangsaan yang mula berkobar-kobar,
Tunku telah mengusahakan penubuhan Kesatuan
Melayu Great Britain dan beliau dilantik menjadi
Setiausaha pertamanya.
Pada
tahun 1947, didorong oleh keazaman yang kuat
Tunku ke England untuk menghabiskan pelajarannya
di Inns of Court. Beliau berjaya mendapat kelayakan
undang-undang dan pulang ke Kedah. Pada tahun
1949 Tunku telah dilantik menjadi Ketua Pertubuhan
Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Bahagian Kedah
dan pada 26 Ogos 1951 Tunku telah menggantikan
Dato' Onn Jaafar menjadi Yang di Pertua UMNO.
Semasa
menjadi Presiden UMNO Tunku telah berusaha menyelesaikan
masalah politik di Tanah Melayu dengan mendapatkan
kerjasama daripada semua kaum dan hasilnnya
telah tertubuh Parti Perikatan yang terdiri
daripada UMNO, MCA dan MIC.
Setelah
pilihanraya umum yang pertama diadakan di negara
ini pada bulan Julai 1955, di mana Parti Perikatan
telah memenangi 51 daripada jumlah 52 buah kerusi
yang dipertandingkan Tunku dilantik menjadi
Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Pada
tahun 1956 Tunku mengetuai rombongan ke London
untuk berbincang dengan Kerajaan British bagi
mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu.
Rundingan ini berjaya mendapat persetujuan British
dan tarikh 31 Ogos 1957 telah ditetapkan sebagai
tarikh kemerdekaan.
Pada
tahun 1961, dalam satu majlis makan tengah hari
dengan wartawan asing di Singapura, Tunku telah
mengumumkan bahawa Tanah Melayu akan mengadakan
satu persefahaman dengan Britain, Singapura,
Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan negara Malaysia.
Penubuhan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan
Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak telah
diisytiharkan pada 16 September 1963. Bagaimanapun
Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos
1965.
Pada
22 September 1970 Tunku, dalam keadaan teramat
sedih kerana Tragedi 13 Mei 1969, meletakkan
jawatan dan Tun Abdul Razak menjadi Perdana
Menteri Malaysia yang kedua.
|