Pilih satu Halaman
BM / EN

ANUGERAH

Anugerah Pingat Tunku

Pingat ini dianugerahkan kepada graduan bagi menghargai potensi kepimpinan dan komitmen mereka terhadap nilai-nilai Almarhum Tunku Abdul Rahman

11 Graduan cemerlang dianugerahi Pingat Tunku oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman

Putrajaya, Malaysia, 9 Disember, 2020 – Yayasan Tunku Abdul Rahman telah menyampaikan Anugerah Pingat Tunku kepada 11 graduan cemerlang daripada universiti awam tempatan yang telah bergraduasi pada tahun 2017 dan 2019. YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dan selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan, telah menyampaikan anugerah tersebut melalui Acara Anugerah secara maya untuk memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini. YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad turut menerangkan tentang kepentingan Anugerah ini:

“11 orang pemimpin muda yang unggul ini telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam universiti dan memiliki semangat yang tinggi untuk menyumbang kepada negara. Melalui pengiktirafan Anugerah Pingat Tunku, saya berharap bahawa mereka akan terus mendukung aspirasi Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam membangunkan masyarakat Malaysia, terutamanya ketika krisis Covid-19 ini yang telah membawa banyak kesusahan kepada kehidupan rakyat.”

Anugerah Pingat Tunku telah diberikan setiap tahun sejak tahun 1979 kepada para pelajar dari universiti awam tempatan yang mempunyai akademik yang cemerlang di peringkat ijazah Sarjana Muda, menjunjung nilai-nilai dan aspirasi Almarhum Yang Mulia Tunku Abdul Rahman serta menunjukkan kecemerlangan sifat kepimpinan yang penuh wibawa untuk berkhidmat demi negara.

TAnugerah ini terdiri daripada 3 kategori iaitu Emas, Perak dan Gangsa. Setiap penerima anugerah mendapat hadiah berupa wang tunai serta dana untuk menjalankan projek komuniti yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Dana ini merupakan inisiatif baru Yayasan untuk memberi sokongan yang lebih bermakna kepada penerima Anugerah. Sebagai duta Yayasan Tunku Abdul Rahman, penerima anugerah perlu mengilhamkan jiwa Tunku Abdul Rahman dalam memupuk perpaduan dan memajukan masyarakat Malaysia. Selain daripada hadiah tunai dan geran projek komuniti, para pemenang juga akan menjadi mentor kepada Tunku Scholars , merangkap penerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman, dan pelajar sekolah menengah berpendapatan rendah di bawah program Closing The Gap, suatu program bimbingan pelajar untuk ke universiti yang disokong oleh Yayasan.

Datin Sri Sharifah Menyalara Hussein, cucu kepada Tunku Abdul Rahman dan salah satu ahli Lembaga Pemegang Amanah dalam Yayasan, turut menjadi penilai utama untuk proses pemilihan Anugerah tersebut. Beliau berkata:

“Sebagai penaung aspirasi mulia arwah datuk saya, Yayasan ingin mengenalpasti dan mencungkil bakat graduan yang sedia menghayati nilai beliau dalam kehidupan. Penerima Anugerah Pingat Tunku yang unggul adalah seseorang yang cerdas minda, petah berkomunikasi dan tekad untuk membawa perubahan positif kepada negara yang dicintai. Saya berasa amat bertuah kerana mempunyai peluang untuk mengetahui cerita dan motivasi setiap Penerima Anugerah Pingat Tunku yang banyak memberi inspirasi kepada saya. Saya pasti bahawa mereka akan terus mengamalkan nilai arwah Tunku di mana-mana jua.”

Dr. Aswinkumar, penerima Pingat Tunku Emas 2019, berasal daripada keluarga ibu tunggal dan pernah menjadi Pelajar Terbaik Perubatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia serta Penerima Anugerah Canselor. Beliau berkongsi:

“Saya mempunyai hasrat tinggi untuk menyumbang balik kepada masyarakat Malaysia kerana kejayaan saya tidak boleh dicapai tanpa sokongan dan panduan daripada beberapa individu penting dalam hidup saya.”

Pada masa depan, Dr. Aswinkumar berharap untuk menjadi pakar kardiologi dan berkhidmat dalam sektor kesihatan awam untuk jangka masa yang panjang.

Penerima adalah seperti berikut:

PENERIMA 2019

GOLD
PINGAT TUNKU

Fatin Nursa’adah binti Azman
(Undang-Undang, Universiti Islamik Antarabangsa Malaysia)

Dr. Aswinkumar A/L Gunasekaran
(Perubatan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia)

BRONZE
PINGAT TUNKU

Lau Win Yei
(Ukur Bahan, Universiti Malaya)

Dr. Abdul Kadir Shah
(Perubatan, Universiti Malaya)

SPECIAL
ACKNOWLEDGEMENT

Mohamad Affan bin Mohamad Nassruddin
(Sains Sosial, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia)

PENERIMA 2017

GOLD
PINGAT TUNKU

Choo Wen Chun
(Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia)

SILVER
PINGAT TUNKU

Muhammad Nor bin Abdul Rashid
(Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaya)

Keeran A/L Anamalai
(Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Malaysia Pahang)

BRONZE
PINGAT TUNKU

Elyssa Heinzie Anak Josin
(Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris)

Paul Chen
(Kejuruteraan Awam, Universiti Malaya)

Dr. Siti Aisyah binti Mohd Ramli
(Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

APA LAGI YANG ANDA TUNGGU?

Dengan semangat Tunku, kami menumpukan perhatian kepada potensi pemimpin Malaysia masa depan, tanpa mengira bangsa atau kepercayaan.