Pilih satu Halaman
BM / EN

BERITA DAN BLOG

Kisah Scholar Kami – Adib, Tunku Scholar 2020

13 Apr 2021 | Artikel

Hasrat terakhir yang ditinggalkan oleh arwah ayah kepada saya hanyalah satu; iaitu untuk menyumbang kembali kepada masyarakat apabila telah dewasa. Ia bukanlah sesuatu yang sukar kerana arwah ayah telah menanam nilai tersebut dalam diri saya sejak di bangku sekolah lagi.

Arwah ayah saya merupakan seorang guru Pendidikan Khas yang mengajar di sekolah rendah yang turut saya hadiri. Selepas tamat sesi persekolahan, saya akan pergi ke kelasnya untuk membantu pelajar-pelajar beliau dengan tugas bacaan dan tulisan mereka. Pengalaman saya bersama kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran telah mencetuskan minat saya dalam bidang Pendidikan Khas. Berdasarkan pengalaman ini, saya beraspirasi untuk memperjuangkan pendidikan yang inklusif dan ingin memastikan tiada seorang individu pun akan ditinggalkan.

Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) telah membantu saya untuk mencapai impian saya sebagai seorang penyelidik dan pensyarah dalam bidang Pendidikan Khas. Sebagai sebahagian daripada program biasiswa tersebut, saya telah dibimbing oleh Mentor saya, Cik Ellysa, yang merupakan Tunku Scholar 2014. Beliau telah menolong saya dalam meningkatkan pemahaman saya dalam bidang ini dan mengenal pasti langkah-langkah yang dapat membantu mencapai matlamat kerjaya saya.

Saya tidak sabar untuk memenuhi hasrat arwah ayah dan meneruskan warisan yang ditinggalkannya dengan melanjutkan kerjaya saya dalam bidang Pendidikan Khas. Apabila saya berjaya menjadi seorang pensyarah, saya berharap untuk menghidupkan semula semangat menimba ilmu serta mencipta platform baru yang mudah diakses oleh golongan rakyat Malaysia yang berkeperluan khas. Saya percaya bahawa terdapat keperluan untuk kita memupuk potensi untuk membangunkan Malaysia sebagai negara yang inklusif terhadap golongan kurang upaya.

 

—–

 

Jika anda merupakan seorang pelajar dalam program Ijazah Sarjana Muda seperti Adib, yang bercita-cita untuk menyumbang kepada pembangunan Malaysia yang progresif, mohonlah untuk menjadi Tunku Scholar 2021 sekarang juga. Biasiswa Tunku Abdul Rahman memperkasakan belia-belia Malaysia melalui program pembangunan kepimpinan selama 2 tahun yang melibatkan bimbingan Mentor oleh komuniti Alumni, peluang pembangunan seperti bengkel dan kem, serta juga peluang untuk memimpin projek kemasyarakatan anda sendiri.

 

 

 

Ditulis oleh:

Muhammad Adib bin Abd Rahim merupakan Tunku Scholar 2020 yang berasal dari Kedah. Dia sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Mudanya dalam bidang Pendidikan Khas dengan minor dalam Biologi.

APA LAGI YANG ANDA TUNGGU?

Dengan semangat Tunku, kami menumpukan perhatian kepada potensi pemimpin Malaysia masa depan, tanpa mengira bangsa atau kepercayaan.