NEWS and BLOG

Luqman

01 Sep 2021 | Artikel

Saya berasal dari bandar kecil bernama Kuala Berang yang terletak di Hulu Terengganu, Terengganu. Selepas tamatnya bangku persekolahan, saya mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya dalam jurusan Sains Geologi. Meskipun saya merupakan seorang penuntut ilmu sains, saya sentiasa tertarik kepada politik, pembuatan polisi dan governan.

Pada tahun pertama di universiti, saya telah melibatkan diri dengan kegiatan aktivisme mahasiswa melalui Demokrat Universiti Malaya dan Suara Siswa Universiti Malaya dan ditawarkan untuk bertanding pada pilihan raya kampus.

Sebagai Setiausaha Hal Ehwal Mahasiswa di dalam Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), ,saya dan rakan rakan KMUM melancarkan pelbagai inisiatif bagi memastikan hak dan kebajikan mahasiswa terus terbela. Kami telah mengelolakan program Sifar Lapar iaitu suatu inisiatif pemberian bekalan makanan dan barangan keperluan kepada mahasiswa Universiti Malaya yang terjejas dan terkandas akibat Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar Lembah Klang.

Lanjutan daripada program Sifar Lapar ini, kami membuka sebuah bank makanan di luar kampus dan ditugaskan untuk menyelia keadaan bank makanan tersebut bagi memastikan setiap pengagihan bekalan makanan mampu dijalankan secara efisien.

Pembukaan bank makanan membolehkan semua bantuan yang diterima dipusatkan sebelum diagihkan kepada penerima serta membolehkan mahasiswa mendapat akses kepada bekalan makanan dan keperluan sepanjang masa, tidak kira sama ada berada di luar mahupun di dalam kampus. Usai penubuhannya, lebih ramai pihak mampu menyalurkan bantuan yang akan disampaikan kepada mahasiswa,, tidak kira daripada ahli politik, badan kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Saya percaya kepada hak kesamarataan dan kesaksamaan di dalam struktur masyarakat, dan saya percaya bahawa akses kepada barangan keperluan serta makanan merupakan hak asasi manusia. Inisiatif ini merupakan antara beberapa langkah signifikan untuk melakukan perubahan yang lebih besar kepada diri saya, masyarakat dan Malaysia.

 

Written by:

Luqman Hakim merupakan Tunku Scholar 2020 yang bercita-cita untuk menjadi seorang ahli geologi yang berkhidmat bersama syarikat tempatan di dalam eksplorasi hasil bumi Malaysia yang melimpah ruah, justeru menyumbang kepakaran yang dimiliki demi membina masa hadapan Malaysia yang lebih cerah.

APA LAGI YANG ANDA TUNGGU?

Dengan semangat Tunku, kami menumpukan perhatian kepada potensi pemimpin Malaysia masa depan, tanpa mengira bangsa atau kepercayaan.