Pilih satu Halaman
BM / EN

BERITA dan BLOG

Mengingati Warisan Tunku Abdul Rahman

17 Feb 2021 | Artikel

“Seorang pemimpin membawa rakyatnya ke mana mereka ingin pergi. Pemimpin yang hebat pula tidak membawa rakyatnya ke mana mereka ingin, tetapi ke mana mereka harus berada.” Penyataan oleh Rosalynn Carter ini merumuskan kehidupan dan jasa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang hari lahirnya ke-118 kita sambut pada hari ini.

Tunku terkenal sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia dan merupakan penggerak utama di sebalik pemindahan kuasa daripada penjajahan British kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Namun begitu, kita sering lupa tentang keperibadian beliau yang menarik dalam pelbagai aspek.

Mereka yang mengenali Tunku secara peribadi akan menggambarkan beliau sebagai seorang yang sederhana, rendah diri, berdedikasi dan mulia. Dalam kehidupan peribadinya, Tunku tidak mudah terperangkap dalam sesuatu dogma. Beliau tidak membiarkan suara pendapat orang lain untuk menindas suara hatinya sendiri. Sebagai seorang pemimpin, beliau memilih untuk dikelilingi golongan bijaksana dan arif.

Tunku adalah seorang yang berwawasan dan mendukung aspirasi “perpaduan dalam kepelbagaian” untuk negara kita – sebuah impian yang melangkaui masa pada ketika itu. Sebagai seorang perunding dan pendamai yang handal, Tunku berjaya menyatupadukan masyarakat yang pelbagai kaum pada tahun 1957 dan 1963. Kedamaian dan keharmonian antara kaum adalah warisan Tunku kepada negara. Sejak beliau mewarisi kepimpinan UMNO daripada Dato’ Onn Jaafar pada Ogos 1951, beliau telah bekerja tanpa lelah untuk menyatukan masyarakat yang berbeza kaum dan agama di bawah satu platform politik berdasarkan prinsip kompromi dan bertolak ansur.

Perlembagaan 1957 yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid dengan bantuan Tunku dan rakan-rakannya dalam Parti Perikatan,mengambil pendekatan sederhana. Perlembagaan ini merangkumi pelbagai ciri-ciri peribumi Kepulauan Melayu. Antaranya adalah sebuah sistem unik yang merangkumi semua monarki Melayu bersatu di bawah Majlis Raja-Raja, tanah rizab Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi kebebasan beragama masih diberikan kepada masyarakat lain, dan peruntukan tindakan afirmatif untuk mengekalkan kedudukan istimewa kaum Melayu serta juga (bermula tahun 1963) golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Pada masa yang sama, ciri-ciri Melayu-Muslim-Bumiputera yang terdapat dalam Perlembagaan tersebut seimbang dengan peruntukan-peruntukan yang sesuai dengan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Kewarganegaraan diberikan kepada hampir 1.3 juta orang bukan Melayu. Ini adalah satu tindakan yang luar biasa pada ketika itu. Proses pilihan raya dan bab yang berkaitan dengan kebebasan hak asasi telah diberikan kepada semua rakyat. Di peringkat persekutuan, keahlian bagi badan kehakiman, Kabinet, Parlimen, dan Suruhanjaya Khas di bawah Perlembagaan telah dibuka kepada semua warganegara Malaysia.

Walaupun agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, Malaysia bukanlah sebuah negara teokrasi. Perlembagaan adalah agung. Semua komuniti agama dibenarkan menganut dan mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman dan harmoni. Walaupun Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi, masih terdapat perlindungan untuk pengajian formal bagi bahasa lain di semua sekolah.

Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dihadkan dengan beberapa batasan. Sebagai contoh, selain daripada tanggungjawab baginda untuk melindungi semua rakyat Melayu dan Bumiputera, Yang di-Pertuan Agong juga diberi amanah untuk menjaga kepentingan komuniti yang lain.

Pada tahun 1963, kemahiran kepimpinan Tunku telah berjaya mengubah Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Malaysia dengan autonomi khas untuk Sabah, Sarawak dan Singapura.

Tambahan lagi, gabungan parti politik di bawah naungan Tunku telah dibina berdasarkan semangat pendamaian dan kesederhanaan antara kaum, dan bukannya dengan ideologi negatif yang telah memecah belahkan masyarakat majmuk lain.

Secara keseluruhannya, semangat yang terkandung dalam Perlembagaan 1957 dan 1963 adalah semangat tentang toleransi, kesederhanaan, dan belas kasihan. Ini merupakan sumbangan daripada Tunku yang akan berterusan.

Di peringkat antarabangsa pula, Tunku adalah perancang utama dalam merangka dasar luar negara dan beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap kerjasama serantau di Asia Tenggara. Tunku juga memainkan peranan yang penting dalam penubuhan Pertubuhan Kerjasama Islam dan merupakan Setiausaha Agung yang pertama bagi organisasi tersebut.

Sambil kita renungkan kehidupan dan kepimpinan Tunku, ia amat menyedihkan untuk menyedari bahawa masyarakat kita yang seketika dahulu majmuk dan cemerlang, tetapi pada hari ini sering dilanda masalah kaum dan agama. Walaubagaimanapun, jangan kita berputus asa. Kesilapan masa lalu boleh mengubah diri kita untuk menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini. Ada kalanya, hanya dengan membuat kesilapan, dapat kita tahu arah tuju yang betul.

Ditulis oleh:

Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, ahli Lembaga Pemegang Amanah di YTAR.

Artikel ini telah diterbitkan pada 8 Februari 2020.

APA LAGI YANG ANDA TUNGGU?

Dengan semangat Tunku, kami menumpukan perhatian kepada potensi pemimpin Malaysia masa depan, tanpa mengira bangsa atau kepercayaan.