Berasal dari keluarga tunggal, beliau merupakan anak pertama yang melanjutkan pelajaran dalam Sarjana Muda Perundangan. Memperkenalkan, Shahrizal Mizani, seorang pelajar Perundangan dari Universiti Sains Islam (USIM), Nilai, Negeri Sembilan yang berumur 23 tahun. Pada tahun 2022, beliau telah mengasaskan Workers Unmuted, sebuah badan sokongan dan kumpulan pendidikan yang memperjuangkan hak pekerja di Malaysia.
Beliau juga merupakan penerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman pada tahun 2021 yang menjadi batu loncatan untuk beliau mencapai aspirasi pendidikan tinggi dengan bantuan kewangan yang diperlukan dan menjadi yang pertama dalam keluarga beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan.
Namun, perjalanan Shahrizal tidaklah, seperti “naik basuh kaki sahaja”. Dilahirkan dalam keluarga tunggal berstatus B40 di Selangor - selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2019 - beliau mula bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran mamak di Kota Damansara.
Disitulah beliau menyaksikan ketidakadilan yang dilalui oleh pekerja bawahan.
Menurut beliau, yang berumur 19 tahun pada ketika itu, majikan restoran tersebut mendiskriminasi dan mengeksploitasi pekerja-pekerja yang tidak mampu menyuarakan pendapat sendiri kerana kurang ilmu pengetahuan tentang hak mereka. Shahrizal berkongsi lagi bahawa beliau juga tidak mengambil perhatian tentang haknya sebelum ini. Tetapi, pengalaman sebagai pelayan di restoran tersebut membuatkan beliau terdetik untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Perundangan dan menggunakan ilmu tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan.
Pada 2022, beliau mula menggunakan kemahiran dan sumber yang diperoleh daripada Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) untuk menegakkan hak pekerja yang dalam masa yang sama membantu dalam merealisasikan aspirasi beliau dalam keadilan sosial.
Menurut Tunku Scholar ini, beliau mahu pengetahuan perundangan, terutamanya berkenaan undang-undang dan hak pekerja di Malaysia boleh dicapai oleh segenap masyarakat dan bukannya dalam kelompok pakar perundangan sahaja.
Perkara inilah yang mendorong beliau untuk melancarkan kumpulan sokongan, Workers Unmuted.
Sejak penubuhan Workers Unmuted pada 2023, kumpulan ini telah dikenali sebagai sebuah inisiatif sokongan digital yang mengimpikan masa depan dimana pekerja-pekerja di Malaysia sedar akan hak mereka.
Inisatif sokongan ini diterajui oleh lapan orang pelajar dimana mereka menggunakan pelbagai jenis medium, termasuklah video penerangan, infografik maklumat, temu bual, audio siar dan sesi interaktif di media sosial bagi merapatkan jurang pengetahuan dan meningkatkan tahap kesedaran tentang undang-undang pekerja kepada golongan pekerja.
Paling membanggakan apabila inisiatif ini telah berkembang dengan jayanya di media sosial, terutama melalui akaun TikTok mereka yang telah mencapai 46,000 pengikut (setakat Ogos 2024). Melalui platform ini, rakyat Malaysia menerima pelbagai ilmu berkenaan hak pekerja.
Inisiatif ini tidak bertumpu di media sosial sahaja; sebelum ini, mereka pernah memberikan bantuan guaman secara percuma kepada golongan pekerja yang ditindas melalui sesi e-konsultasi yang dibiaya oleh Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang (KGFSU) bagi membantu pekerja memahami hak mereka dan juga proses perundangan yang kompleks. Kini, mereka berfokus kepada pendedahan advokasi dengan menggunakan saluran media sosial.
Tambahan lagi, Sharizal juga menyumbang daripada segi menyuarakan perkara ini melalui liputan di New Straits Times, The Star, Malaysiakini, dan The Malaysian Insight dimana beliau menggunakan suaranya untuk menyatakan tentang hak pekerja, perlindungan pekerja asing, pematuhan hak pekerja dan pelbagai isu sosial.
Workers Unmuted telah berjaya menerima geran Binax Bangkit oleh Architects of Diversity (AOD).
Sebagai sebahagian daripada pemberian geran tersebut, Workers Unmuted menerima dana inovasi berjumlah RM10,000.
Objektif utama BinaxBangkit adalah untuk membentuk dan menyokong inisiatif belia berbentuk kesukarelawanan, baru dan sedia ada yang berfokus dalam pembinaan bangsa Malaysia yang lebih inklusif dan saksama.
留言