top of page
  • admin841286

Tunku Scholar Membangun Komuniti Usahawan Cilik

Semangat keusahawanan gadis berusia 23 tahun ini bermula apabila ibu bapanya kehilangan pekerjaan semasa dunia dilanda Covid-19. Berbekalkan ilmu daripada pelbagai platform maya yang tersedia, Nor Fasalia Ernie Binti Samat terinspirasi untuk membawa perubahan kepada diri sendiri dan komuniti. Hijabbyyaya, sebuah perniagaan tudung milik pelajar bidang Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjadi titik permulaan kepada semangat keusahawanan beliau yang kini sudah mencecah 4 tahun pengoperasian. 


Selain daripada bakat keusahawanan, Fasalia juga merupakan penerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) pada tahun 2022, yang mempersiapkan beliau dengan program kepimpinan selama 2 tahun disamping program pembangunan diri yang lain. Melalui program kepimpinan BTAR, Fasalia menjadi semakin berani memasang impian yang lebih besar. Beliau merupakan Exco Keusahawan dan Perhubungan Awam dalam Majlis Perwakilan Pelajar UIAM. Fasalia juga telah mewakili universiti dalam program pertukaran pelajar ke Korea dan Indonesia dengan tajaan penuh. 


Melalui program BTAR, setiap Tunku Scholars menerima geran sebanyak RM5,000 untuk kegunaan pembangunan professional dan projek komuniti.  Bukan itu sahaja, mereka juga menerima latihan kemahiran bagi persiapan projek komuniti dalam tempoh 2 tahun program kepimpinan tersebut. Walaupun merupakan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan beliau membesar di Selangor dan kerana itu beliau memilih SK Bukit Tampoi sebagai tempat pelaksanaan projek komuniti. Sekolah ini terdiri daripada pelajar Orang Asli dengan majoriti daripada suku Temuan. Seramai 20 peserta daripada tahun 5 dan 6 terlibat secara langsung dalam projek ini. Minat beliau yang mendalam dalam keusahawanan dan pengurusan kewangan telah mendorong dirinya untuk berbagi ilmu ini kepada komuniti ini. Projek Fungi Flourish merupakan sebuah projek penanaman cendawan tiram melalui teknik pengkomposan. Teknik ini memerlukan komitmen yang rendah daripada segi penjagaan namun membawa pulangan yang tinggi. 


“Saya percaya bahawa pendidikan dan peluang ekonomi adalah kunci kepada perubahan sosial yang berkekalan, jadi saya ingin menyumbang kepada pembangunan komuniti dengan menyediakan kemahiran dan peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Belajar dari kecil, moga dapat diterap pada masa akan datang”. - Fasalia

Melalui projek ini, para peserta mampu menjana pendapatan sendiri melalui hasil pendapatan daripada penjualan cendawan tiram. 50% daripada hasil pendapatan dibahagikan kepada pelajar yang terlibat dan 50% lagi dijadikan modal untuk kitaran yang seterusnya. Pengalaman dan ilmu keusahawanan Fasalia membantu pelajar-pelajar ini menguruskan perniagaan ini secara sendiri. Beliau mahu menerapkan ilmu keusahawanan dalam komuniti pelajar ini dari usia muda daripada teknik pemprosesan cendawan sehingga urusan perniagaan. “Teknik ini membolehkan pelajar mengawal kualiti produk dan meningkatkan kecekapan pengeluaran” kongsi Fasalia. Dengan modal serendah RM1.50 bagi setiap bongkah cendawan, pelajar boleh mendapatkan hasil tuaian sebanyak 5 ke 6 kali dalam tempoh 3 bulan. Penyediaan modul latihan, pemantauan dan sokongan yang berterusan mampu melestarikan projek ini. 


Setakat ini, pelajar telah mendapatkan hasil jualan berjumlah RM114 dengan 57 pek cendawan terjual dalam tempoh satu minggu pengoperasian sahaja. Beliau bukan sahaja mendapat sokongan dari pihak sekolah dan rakan siswa, ayah serta abangnya juga turut turun padang dalam pembinaan rumah cendawan ini. Beliau berharap agar projek ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya serta menerapkan kecelikan pengurusan kewangan dari komuniti Orang Asli. Beliau juga ingin memperluaskan skala projek kepada lebih banyak komuniti dan meningkatkan kemahiran pelajar melalui latihan berterusan.


Menggapai kesemua impian tinggi ini bukan untuk dirinya sahaja, Fasalia mahu membuktikan bahawa latar keluarga bukanlah penghalang untuk memiliki impian pendidikan. Dengan usaha dan kecekalan, segalanya mungkin. Selain daripada ingin menjadi Juruaudit si syarikat Big 4, beliau juga memasang impian untuk membuka perniagaan tudung di tempat kelahirannya di Kelantan dan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan. Jika anda berminat untuk menyumbang kepada pembangunan generasi muda, seperti Fasalia melalui Biasiswa Tunku Abdul Rahman, sila layari www.yayasantar.org.my atau hubungi kami untuk maklumat lanjut




Comments


bottom of page